2013年7月23日星期二


Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan kes ragut  menjadi lebih serius:
Belakangan ini, kejadian ragut amat mengejutkan buat masyarakat kita. Menurut Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak, kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Ada pepatah melayu menyatakan, kuah sama dihirup, sambal sama dicolek, kita sebagai warga Malaysia yang seia sekata, haruslah menggembleng tenaga dan menghempas pulas untuk mengekang masalah ragut ini sehigga ke akar umbinya. Persoalannya, apakah faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya kes ragut yang terus meningkat saban tahun ?  Yang berikut akan saya huraikan puncanya berlaku kes ragut.
  Punca perdana jenayah ragut ini adalah kerana sikap masyarakat sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka, bak kata pepatah, bagai mencurahkan air ke atas daun keladi. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadI sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.
Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.
Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif. Hal ini demikian kerana undang-undang kini hanya seperti melukut di tepi gantang. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.
Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Tegasnya, masyarakat haruslah menekankan didikan keagamaan supaya mempunyai nilai sahsiah yang tinggi.
Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak, bak kata pepatah, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa ”sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.



Kerajaan telah berusaha untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan di negara ini ekoran peningkatan kes sosial pula.
Nyatakan langkah-langkah yang mampu diambil oleh kerajaan untuk mengekalkan insititusi keluarga ini.

Belakangan ini, kerajaan berusaha untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan di negara ini. Merurut perdana menteri Dato Seri Najib Tun Razak, peningkatan gejala sosial berkait rapat dengan keruntuhan institusi keluarga. Ada pepatah melayu menyatakan, bagaimana acuan begitulah kuihnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk mendidik anak-anak mereka. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan institusi keluarga di negara ini terus utuh? Yang berikut akan saya huraikan langkahnya mengekalkan institusi kekeluargaan.
Tindakan awal yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah kerajaan menggubal satu perundangan baru yang boleh memastikan keutuhan keluarga di negara ini terus berkekalan. Kewujudan akta yang lebih menyeluruh seperti mampu menangani masalah penceraian, penderaan anak dan isteri  pasti mampu memberikan satu sinar baru kepada pembentukan keluarga yang sihat pula. Masyarakat akan lebih berhati-hati untuk bertindak mendera atau lari dari rumah begitu sahaja kerana sedar adanya peruntukan perundangan yang boleh memberi impak kepada diri mereka  pula nanti jika dilakukan tanpa berfikir. Maka, tindakan mewujudkan satu perundangan yang lebih holistik  mampu menghasilkan satu bentuk keluarga yang lebih baik di negara ini.
Selain itu, kerajaan boleh menjalankan satu kempen kesedaran tentang peri pentingnya institusi keluarga ini diberi penekanan di negara ini. Dalam kempen ini dihuraikan bahawa kebanyakan gejala sosial yang berlaku di Malaysia mampu dikurangkan jika negara ini memiliki persepsi kepentingan keluarga yang sebenarnya. Pada masa yang sama kempen itu juga berupaya untuk menerangkan cara-cara untuk memiliki satu keluarga yang baik dan sihat supaya masyarakat boleh melakukan sesuatu pula terhadap keluarga mereka sendiri.  Jelaslah, langkah mengadakan kempen bukan sahaja mampu menerangkan kepentingan keluarga kepada masyarakat tetapi juga berupaya mendidik mereka untuk memproleh satu keluarga yang sempurna.
Bukan sahaja penggubalan perundangan dan menjalankan kempen tetapi kerajaan juga boleh menubuhkan satu agensi khas yang akan menguruskan semua aspek berkaitan dengan kekeluargaan di negara ini. Agensi ini akan merangka semua tindakan yang bersesuaian dengan perancangan kerajaan setelah mengadakan kajian mengenai keadaan keluarga di negara ini pula. Kewujudan agensi khas ini juga membuktikan kepada masyarakat bahawa kerajaan sememangnya bersungguh-sungguh dalam usaha untuk menangani masalah sosial yang berlaku itu. Sesungguhnya, penubuhan sebuah agensi khas keluarga sebegini mampu menjadikan semua aktiviti yang dilaksanakan terancang dan tepat kea rah sasarannya.
Tindakan seterusnya ialah kerajaan boleh mewajibkan semua ibu bapa terutama pasangan yang baru berkahwin untuk menghadiri satu kursus keibubapaan. Kehadiran mereka dalam kursus sebegini memberikan mereka satu pengetahuan asas untuk mendidik anak sendiri apabila sampai masanya kelak. Pengetahuan mendidik sebeginilah yang bakal menjadikan keluarga itu lebih mantap kerana anak akan dididik dengan sempurna oleh ayah dan ibu mereka. Oleh itu, kursus yang dianjurkan ini menjadikan tugas untuk mendidik keluarga itu begitu mudah dan berkesan.
Malahan,  keutuhan keluarga ini juga mampu ditingkatkan oleh kerajaan dengan menyediakan sistem perumahan yang selesa buat rakyat di negara ini terutama golongan yang berpendapatan rendah. Kita sedia maklum bahawa harga rumah di negara ini terutama di kawasan bandar begitu mahal sehingga ada keluarga yang tidak mempunyai rumah yang selesa untuk keluarga mereka. Keadaan ini menyebabkan anak-anak sering tiada di rumah lalu mereka mudah untuk terpengaruh dengan unsur-unsur negatif di luar rumah pula.  Justeru, kemampuan kerajaan menyediakan perumahan yang baik buat rakyat di negara ini bakal menyaksikan semua gejala sosial yang berlaku menjadi berkurangan pula.
Kesimpulannya, semua tindakan yang diutarakan tadi sememangnya mampu menghasilkan satu institusi keluarga yang utuh di negara ini. Kerjasama semua pihak terutama ibu bapaamat diperlukan jika tindakan-tindakan ini ingin mencapai sasarannya. Kegagalan untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya pasti menjadikan gejala sosial yang melanda negara ini terus bertambah saban tahun. Slogan “Rumahku, Syurgaku” membuktikan betapa pentingnya keharmonian dan keutuhan keluarga itu buat pendidikan generasi masa depan negara ini.

                                                              





Penyakit demam denggi yang berpunca daripada nyamuk aedes merupakan ancaman yang membimbangkan negara. Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan merebaknya penyakit ini dan langkah-langkah bagi menanganinya.

Mutakhir ini negara tidak putus-putus dicelikkan dengan berita-berita kematian yang membabitkan penyakit demam denggi. Berdasarkan statistik, kawasan sekitar Lembah Kelang terutamanya yang mencatatkan kadar kematian yang paling tinggi dan membimbangkan. Hal ini ternyata mengancam ketenteraman masyarakat sejagat kerana masalah nyamuk aedes umpama barah yang tiada penawarnya. Walaupun begitu, masalah tersebut boleh dikurangkan dengan professional, rasional dan signifikan sekiranya setiap lapisan masyarakat berusaha mengkaji faktor-faktor yang menyebabkan merebaknya penyakit yang membawa maut ini seraya mengaplikasi langkah-langkah yang boleh dilaksanakan bagi menanganinya demi kemaslahatan bersama.
Antara faktor yang utama ialah pengabaian terhadap kebersihan dan displin diri. Nyamuk aedes terutamanya amat menggemari kawasan yang bersemak-samun dan sering berlegar-legar di sekitar kawasan semak atau padang rumput antara waktu petang hingga senja. Sememangnya, waktu-waktu begini yang sering digunakan oleh komuniti remaja untuk melakukan aktiviti riadah di luar rumah. Jadi, tidak menjadi masalah bagi pembunuh bersaiz kecil untuk mendapatkan mangsa. Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan remaja.
Faktor kedua ialah pengabaian terhadap kebersihan kawasan persekitaran. Sebagaimana yang telah kita sedia maklum, nyamuk aedes memerlukan kawasan yang mempunyai air yang tidak mengalir untuk membiakkan telur-telurnya. Berdasarkan pemerhatian dan kajian yang telah dibuat, terbukti dengan jelas bahawa rata-rata penduduk di Malaysia menternak nyamuk aedes tanpa disedari oleh mereka. Antara tempat-tempat pembiakan serangga pembunuh ini ialah di dalam pasu-pasu terbiar, celahan tayar, longkang-longkang yang tersumbat, tangki air dan sebagainya. Seperkara lagi, selain kehadiran air yang bertakung, proses pembiakan nyamuk aedes juga tidak terencat di tempat-tempat teduh yang terhalang daripada sinaran matahari.
Oleh hal yang demikian, setiap pihak seharusnya merancang strategi dan menitikberatkan mekanisma yang ampuh dalam usaha menangani masalah yang semakin menular di Malaysia ini seperti kata pepatah tiba di mata dipejamkan, tiba di perut dikempiskan. Salah satu prakarsa yang boleh dijayakan ialah aktiviti pembersihan sekitar kawasan rumah oleh setiap ahli keluarga. Pendedahan awal kepada anak-anak tentang kebersihan kawasan rumah merupakan langkahmenangani pembiakan nyamuk aedes dan penyakit demam denggi. Oleh itu anak-anak akan lebih prihatin terhadap kawasan sekeliling dan tidak mustahil anak-anak kita pula yang akan menegur kita apabila ternampak takungan air di tempat-tempat tersembunyi suatu hari kelak.
Seterusnya, aktiviti gotong-royong di kawasan perumahan juga merupakan salah satu inisiatif terbaik dan profesional. Semasa bergotong-royong, selain dapat membersihkan kawasan yang bersemak-samun dan terbiar secara tidak langsung perpaduan antara jiran tetangga dapat dieratkan tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan kerana masing-masing bersikap optimis dan ringan tangan antara satu sama lain. Dalam masa yang sama, telur-telur nyamuk aedes sama ada yang masih baru atau hampir menjadi seekor anak nyamuk dapapt dihapuskan dan meyelamatkan nyawa penduduk setempat sebelum dijangkiti penyakit yang merbahaya ini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripadamengubati.
Prakarsa seterusnya ialah pihak-pihak berwajib yang diamanahkan oleh Dewn Bandaraya di setiap negeri tidak ketinggalan boleh menyumbang jasa dengan melakukan aktiviti-aktiviti penyemburan secara percuma pada setiap akhir bulan lebih-lebih lagi sekitar kawasan perumahan yang didiami komuniti masyarakat yang banyak. Di samping itu, pengagihan serbuk-serbuk yang mampu memperlahan atau menghapuskan telur-telur di dalam air juga antara langkah yang membantu menangani merebaknya penyakit demam denggi yang dimaksudkan. Dalam hal ini, pihak-pihak berkenaan tidak sepatutnya memandang entengterhadap permasalahan penyakit tersebut justeru menyedari risiko yang bakal dihadapi sekiranya mereka tidak memainkan peranan yang sewajarnya.
Sehubungan dengan itu, pemantauan oleh ibu bapa terhadap anak-anak juga antara inisiatif yang mapan dan wajar dititikberatkan. Sekiranya anak-anak inigin melakukan aktiviti riadah di luar pada sebelah petang, mereka seharusnya diingatkan agar berpakaian lengkap dan melindungi kulit serta menasihati agar pulang pada masa yang sesuai. Tambahan pula, anak-anak juga perlu dinasihatkan agar membersih dan mengurus diri dengan baik selepas terdedah dengan kuman-kuman ketika bermain di luar. Semetelahan itu, ibu bapa juga perlu meningkatkan tahap profesionalisme mereka dengan bertindak segera sekiranya anak-anak didapati mempunyai simptom-simptom yang melibatkan penyakit serius, seperti muntah-muntah dan cirit-birit.
Setiap lapisan masyarakat sayugia bersepadu dan bersifat rasional terhadap kebersihan agar pembiakan nyamuk aedes dan penularan penyakit demam denggi akan terencat. Tamsilnya, Malaysia akan menjadi lebih harmoni dengan masyarakat yang sejahtera jasmani, rohani dan emosi tanpa kehadiran nyamuk aedes. Walau selemah mana jasmani, walau serapuh mana rohani dan walau sekacau mana emosi seseornag individu itu, indivudu yang bebas daripada penyakit seperti demam denggi merupakan suatu elemen penting yang harus diperjuangkan.


Usaha Menggalakkan Kemajuan Pelancongan Negara
Industri pelancongan membawa sumber pendapatan negara. Huraikan usaha-usaha yang mampu dilakukan untuk meningkatkan industri pelancongan negara.

............Tahun 2007 telah diumumkan sebagai Tahun Melawat Malaysia oleh kerajaan memandangkan industri pelancongan berpotensi untuk dimajukan di negara kita. Sektor pelancongan juga perlu dimantapkan kerana sektor ini mampu memantapkan ekonomi negara kita. Banyak tempat menarik yang terdapat di negara kita boleh dikunjungi oleh pelancong-pelancong asing dan tempatan seperti di Cameron Highland, Genting Highland, bandar raya Melaka, Desaru dan sebagainya. Oleh itu pelbagai usaha boleh dilaksanakan untuk memajukan industri pelancongan tersebut sama ada oleh pihak kerajaan sendiri mahupun agensi yang berkaitan.
............Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah menambah kemudahan pengangutan dan perhubungan ke destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Kemudahan pengangkutan ini dapat memberi peluang yang lebih banyak kepada pelancong untuk pergi ke destinasi yang mereka sukai. Sebagai contohnya, kerajaan telah membina kemudahan lebuh raya baru ke Cameron Highland agar pusat pelancongan ini mudah dikunjungi pelancong. Jadual penerbangan ke Malaysia juga perlu ditambah terutama dengan mengadakan promosi tambang murah kepada pelancong asing yang ingin melawat ke Malaysia. Dengan cara ini, para pelancong akan berasa selesa apabila berkunjung ke Malaysia.
............Selain itu, usaha untuk meningkatkan jumlah tempat-tempat penginapan seperti hotel dan chalet perlu ditingkatkan. Usaha ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyakan pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong. Sebagai contohnya, usaha yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut.Justeru, sekiranya usaha seperti ini dilaksanakan secara berterusan, jumlah pelancong asing yang akan kembali semula ke Malaysia akan bertambah di samping menggalakkan kedatangan pelancong baru.
............Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengadakan lebih banyak promosi untuk menjelaskan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh di laksanakan dengan giat sama ada di dalam mahupun di luar negara. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan Arab Saudi. Usaha mempromosikan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarkan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat berguna mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong.
............Salah satu aspek penting yang ditekankan oleh pelancong terutama pelancong asing ialah aspek kebersihan dan kemudahan prasarana. Kawasan pelancongan mestilah sentiasa bersih dan diselenggarakan dengan baik. Petugas- petugas di kawasan pelancongan perlu ditambah bagi memastikan kebersihan sentiasa terkawal. Begitu juga halnya dengan kemudahan prasarana bagi membolehkan pelancong membeli-belah dengan selesa. Sebagai contohnya, kemudahan seperti bank, insuran serta pusat membeli belah perlu dibina di kawasan pelancongan. Langkah-langkah seperti ini mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati.
............Selain usaha tersebut, usaha menarik pelancong ini turut dipikul oleh rakyat negara ini. sikap ramah dan suka membantu pelancong harus diutamakan oleh rakyat Malaysia. Keramahan rakyat negara ini harus dibuktikan melalui sikap ikhlas melayan tetamu kita itu. Umpamanya, pemandu teksi yang dianggap “duta pelancongan negara” haruslah bersikap ramah, mesra dan menjauhi amalan ingin mengambil kesempatan atas kehadiran pelancong asing bagi mengaut keuntungan mudah. Rakyat perlulah menunjukkan nilai sopan santun dan lembut bahasa kerana “bahasa menunjukkan bangsa”. Jadi, rakyat negara ini harus mengubah sikap mereka dengan melayan pelancong tempatan atau asing ini dengan lebih baik agar kunjungan mereka ke Malaysia sentiasa memberi kenangan manis di sepanjang hidup mereka.
............Memandangkan persaingan dalam industri pelancongan semakin sengit, agensi-agensi pelancongan perlu bersikap lebih kreatif bagi menerokai bidang pelancongan baru. Konsep pelancongan perlu diperluaskan dengan memperkenalkan pelbagai jenis pelancongan seperti “ekopelancongan”, pelancongan alam sekitar, pelancongan pendidikan, pelancongan perubatan dan sebagainya. Hal ini sesuai dengan pepatah Melayu, “tak kenal maka tak cinta”. Jika pelancongan versi baru ini tidak dicuba di negara kita, kita tidak akan mengetahui potensi yang dapat diperoleh daripada industri pelancongan tersebut. Pada masa yang sama, pelbagai aktiviti sukan seperti Le Tour De Langkawi serta persidangan antarabangsa seperti Persidangan APEC yang diadakan di Kuala Lumpur, mampu menarik jumlah pelancong berkunjung ke Malaysia.
............Tuntasnya, “jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, jika usaha yang dilakukan amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan di negara kita merentasi benua dan dunia menjadi nyata? Segala tindakan yang dirancang dan direncana memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka. .

Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan perumahan dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Senario ini telah menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan adalah sama ada Stadium Merdeka patut dirohohkan untuk pembangunan kerana bangunan itu tidak lagi berfungsi sebagai tapak akvtiviti sukan lagi. Isu tersebut pernah menjadi polemik pelbagai lapisan masyarakat kita. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.

……….Satu daripada kemaslahatan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dicatat merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau legenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan bahawa berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.
……….Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera pada zaman Kesultanan Melaka. Negara kita jugamampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain bagai berdiri sama tinggi duduk sama rendah sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
……….Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong domestik mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan pemandangan alam yang indah. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis bagai menyelam sambil minum air. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.
……….Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.
……….Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan dan dilestarikan, bak kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.

Amalan berjimat cermat dan menabung.
............Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.
............Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.
............Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.
............Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.
...........Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.
............Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

...............................................................















Isu kenaikan harga barang hangat diperkatakan oleh masyarakat pada hari ini. Sebagai seorang pengguna yang prihatin, tulis sebuah rencana tentang kesan-kesan daripada kenaikan tersebut kepada masyarakat dan negara serta cadangkan langkah-langkah untuk mengatasinya.


Kebelakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mengamalkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelanjaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 peratus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatu barangan sekaligus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contoh, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.

Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam dagi di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah.Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap sperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan sesuka hati hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan tegas seperti ini akan menyebabkan mereka tiak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga barang.

Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak terutamanya pengguna. Oleh itu, semua pihak hendaklah bekerjasama bagai aur dengan tebig untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tetapi sebagai rakyat Malaysia yang prihatin hendaklah bersama-sama mencari jalan untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barang. Sebagai pengguna yang bijak, berhemahlah ketika berbelanja, beli mana yang perlu sahaja. Jimat cermat amalan mulia, sedangkan membazir itu amalan syaitan.




.....





















Huraikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan.

Contoh rangka jawapan
Contoh jawapan.
     Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan negara kita. Walau bagaimanapun, ada sehelintir ibu bapa yang tidak memberi galakkan kepada anak-anak dalam aktiviti kokurikulum dan hanya menumpukan sepenuh perhatian dalam pencapaian akademik sahaja.Anggapan sebegini adalah salah kerana aktiviti kokurikulum banyak memberikan impak positif kepada pelajar untuk cemerlang dibidang akademik dan kokurikulum. Sekiranya ibu bapa memberikan galakkan adn sokongan moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan sukan di negara ini lebih mudah tercapai seperti kata pepatah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dengan cara itu, negara kita akan dikenali dan digeruni di peringkat antarabangsa melalui kejayan atlet di bidang sukan.

     Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakkan seperti membelikan peralatan sukan. Sekiranya anak-anak memilih peralatan sukan yang lengkap an sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Contohnya, ibu bapa perlulah membelikan baju, kasut, peralatan sukan seperti raket atau kayu hoki dan sebagainya yang diperlukan oleh anak mereka. Janganlah disediakan dengan peralatan yang ala kadar sahaja seperti melepaskan batuk di tangga. Dengan hal demikian, minat anak-anak dalam bidang sukan dapat dikembangkan seterusnya mereka akan berlatih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestai serta melakar kemenangan yang boleh mengharumkan nama ibu bapa, sekolah, negeri dan juga negara.

     Ibu bapa juga berperanan untuk menasehati anak-anak supaya mereka bergiat cergas dalam kegiatan sukan boleh membentuk anak-anak yang sihat dan cergas. Di samping itu, anak-anak yang mempunyai bakat yang besar dan mempunyai potensi untuk maju bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang lebih cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara dipersada dunia. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah kalau kita hendak menjadikan anak-anak kita berjaya di bidang sukan, galakkan mereka untuk menceburinya dari sejak kecil lagi.

     Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam sukan. Mereka juga boleh menemani dan menyaksikan sendiri anak-anak mereka berlatih atau bertanding. Dengan adanya dorongan dan sokongandari ibu bapa sudah tentulah akan mendatangkan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak mereka dalam usaha untuk mencipta kejayaan.

     Belikan juga anak-anak majalah sukan, atau video yang berkaitan dengan sukan yang diceburi supaya anak-anak boleh meningkatkan lagi pengetahuan dalam sukan yang diceburinya. Selain itu, kisah-kisah kejayaan ahli-ahli sukan idola mereka yang dipaparkan di majalah-majalah boleh dijadikan pembakar semangat untuk mmereka berusaha dengan lebih gigih.

     Sebagai kesimpulannya, peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan amat besar sekali. Hal ini demikian kerana, galakkan dan dorongan ibu bapa adalah perangsang utama untuk anak-anak berjaya dalam apa bidang sekalipun. Sehubungan itu, ibu bapa perlulah diberikan kesedaran dan kefahaman kepentingan anak-anak mereka menceburi bidang sukan supaya negara dapat melahirkan lebih ramai lagi jaguh sukan di peringkat dunia. Tidak dinafikan kejayaan dibidang akademik amat penting, tetapi ianya harus diseimbangkan dengan kejayaan dibidang kokurikulum juga terutamanya sukan. Yang bulat tak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang, begitu juga dengan sukan, kejayaan tidak akan datang tanpa usaha yang keras dan paling penting galakkan dan dorongan ibu bapa.


                                   
                                   


















Peranan ibu bapa dalam mendidik anak
Anak ibarat kain putih , ibu bapalah yang insan yang bertanggungjawab mencorakkannya. Jika merah, merahlah ia, jika biru, birulah ia. Corak yang dihasilkan itu bakal menentukan siapakah anak-anak pada masa hadapan, Ibu bapa sentiasa mengharapkan dan mendambakan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna serta berbakti terhadap orang tua. Demi mencapai keinginan tersebut ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan hasrat hati mereka itu terlaksana dengan jayanya. Mereka tega menghabiskan masa dan tenaga bahkan wang ringgit demi melihat anak-anak mereka berjaya. Kebanyakan ibu bapa menyayangi anak mereka dengan setelusnya, umpama menatang minyak yang penuh. Namun, dengan mencurhkan kasih sayang semata-amata tidak mungkin akan dapat menjadikan anak-anak seorang insan yang berbakti, justeru usaha-usaha lain harus ditimbal balik dan diambil kira.       

Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar “seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud; “ suruh dan perintahlah anak-anakmu mendirikan solat sedari umurnya tujuh tahun”. Solat merupakan perkara terpenting yang perlu dipantau oleh ibu bapa. Solat dapat mendidik anak-anak untuk sentiasa melakukan perkara baik dan menjauhi perkara mungkar. Apabila anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti menghormati oarng tua dan berbudi pekerti luhur, sudah pasti segala apa yang diangan-angankan oleh ibu bapa akan menjadi realiti. Insan yang berguna ialah insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, segala apa yang dirancang pasti menjadi nyata.       

Seterusnya usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan melihat anak-anak mereka berjaya itu tercapai adalah dengan bermain “tarik tali’ dengan anak-anak. Dalam usaha mendidik anak-anak ibu bapa perlu mengamalkan toleransi, perasaan kasih sayang dan bertegas dalam bicara perlu menjadi tunjang utama. Ibu bapa tidak perlu memanjakan anak-anak sehingga mereka merasakan bahawa diri seperti anak emas dalam keluarga, ibu bapa boleh menuruti rengekkan dan permintaan anak-anak. Namun, mereka harus berpada-pada, Sedikit penegasan perlu diberikan. Hal ini bertujuan mengelakkan anak-anak menjadi manja dan besar kepala. Menghukum apabila anak-anak melakukan kesalahan tidak bererti ibu bapa membanci, tetapi hal ini merupakan tanda ibu bapa menyayangianak-anak. Apabila perasaan kasih sayang dan bertegas sudah menjadi sama rata, maka tidak akan wujud sebarang kekangan. Anak-anak akan sentiasa mengawal tingkah laku dan peradaban mereka. Malah, mereka pasti akan melakukan yang terbaik demi membahagiakan diri sendiri dan ibu bapa yang tercinta. “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Perpeganglah kepada peribahasa tersebut, nescaya kesudahan yang baik akan menjadi milik kita.       

“Lampu Alladdin tidak akan bersinar dengan sendiri tetapi Alladdin akan mengosoknya terlebih dahulu”. Begitulah kata-kata azimat yang ditinta oleh Alex Osborn. Hasrat ibu bapa untuk menyaksikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna tidak akan berhasil jika ibu bapa sahaja yang bertungkus lumus menggembleng tenaga. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memberi sedikit penekanan terhadap kepentingn pendidikan dalan sanubari anak-anak. Ibu bapa perlu mengasuh anak-anak untuk memahami dan mendalami ilmu. Anak-anak pula perlulah berusaha untuk mencapai keinginan tersebut. Anak-anak umpama jentera yang memerlukan minyak pelincir bagi menlancarkan pergerakannya. Apabila minyak pelincir sudah dituang, maka akan lencarlah pergerakannya. Sehubungan dengan itu, kedua-dua belah pihak perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masnig bagi memastikan kelangsungan perjalanan hidup mereka.       

Tun Dr Mahathir pernah berkata, “banyak masalah di dunia ini berpunca daripada sikap manusia yang tidak pernah berusaha memahami antara satu sama lain dan berbincang untuk melepaskan diri daripada sebarang musibah”. Oleh yang demikian langkah drastik yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna ialah dengan menyelami hati dan keinginan anak-anak. “Umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak”, ibu bapa perlu sebaik-baiknya mengetahui rasa hati anak-anak. Cara sebegini akan dapat menghindari anak-anak daripada berasa tertekan. Tertekan dalam konteks ini bermaksud bahawa anak-anak akan berasa dalam dilema sama ada menurut kemahuan diri dan menghancurkan harapan ibu bapa atau menurut kemahuan ibu bapa dan merobek hati sendiri. Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak-anak berusaha untuk mencapai mimpi mereka tanpa memikirkan kemampuan sebenar anak-anak. Anak-anak akan memberontak akibat desakan yang bertubi-tubi daripada ibu bapa. Nah, apabila situasi ini berlaku, lain yang diharap lain yang menjadi, bak kata pepatah, yang dikejar tidak dapat yang diikendong berciciran. Oleh itu, ibu bapa perlu memikirkan sedalam-dalamnya atas segala tindakan yang akan diambil. Setiap insan memiliki paradigma dan pandangan yang berbeza dalam menentukan hala tuju hidup mereka. Dato Dr Fadzillah Kamsah, ada menyebut “usah direnung ke langit hingga terlupakan bumi, sedangkan langit tidak mungkin digapai, sedangkan bumi sedia di tapak kaki”.       

Selanjutnya ibu bapa haruslah memberikan sedikit ruang kepada anak-anak untuk melakukan apa yang mereka hajati, asalkan tidak menyipang dan tersasar jauh ke lembah kehancuran. Dalam memastkan anak-anak berhsil menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak boleh terlalu mengongkong anak-anak. Tiada paksaan dalam menuntut ilmu. Jika anak-anak tidak mampu meneruskannya, ibu bapa tidak boleh terus memaksa. Sebaliknya dorongan dan kata-kata semangat perlu diberi untuk menaikkan semula semangat membara anak-anak. Ahli Falsafah Pascal mengungkapkan “kalau kita berusaha mencapai keinginan, mulakan dengan kata-kata yang lembut kerana kata-kata yang lembut umpama air yang menyirami tanah yang tandus”. Desakan dan paksaan akan menjatuhkan anak-anak. Sebaliknya dorongan dan nasihat akan mendorong anak-anak untuk berjaya kerana “anak umpama bunga-bunga yang tumbuh di taman, yang menjadi tanah dan baja ialah ibu bapa”. Justeru mulakan dengan kelembutan dalam memastikan kejayaan menjadi hak hakiki dan azali anak-anak.       

Intihanya, sudah terang lagi bersuluh, usaha untuk memastikan anak-anak mereka supaya menjadi insan berguna bukanlah mudah. Professor Beetcher pernah berkata, “anak-anak ibarat simen basah, sesiapa yang jatuh ke atasnya pasti memberi kesan”. Justeru, ibu bapa perlu berhati-hati mengambil sebarang tindakan dalam usaha melahirkan model insan yang cemerlang. Usaha yang sewajarnya perlu diambil dan segala emosi yang membungkam jauh dalam sanubari perlu ditolak ke tepi. Kepentingan setiap individu perlu diambil kira dan dipertimbangkan. Akhir kalam, pendayong sudah di tangan, perahu sudah di air, segala tindakan wajar sudah terpampang hanya yang tinggal adalah usaha untuk melaksanakannya. Jauhkan emosi untuk meningkatkan prestasi.















Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di seluruh dunia. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya, bencana alam ini telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Fenomena ini dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letusan gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasapun yang mampu menangani kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca daripada sikap manusia itu sendiri perlu diberikan perhatian agar nyawa manusia tiddak terancam.

     Aktiviti pembalakan memang merupakan antara penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam aktiviti pembalakan seharusnya memikirkan kesannya sebelum menebang pokok kerana, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, biasanya akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, langkah yang bijaksana dan efektif perlulah dijalankan untuk menangani masalah ini daripada berlaku.

     Selain itu, terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang suka melakukan pembakaran terbuka. Hal ini nampaknya remeh, kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah yang menyebabkan kejadian jerebu yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Jerebu ini pula boleh menyebabkan pesakit asma mengalami masalah dan menyebabkan penyakit mereka semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara kerana pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan membantu kita untuk menyelamatkan nyawa manusia sejagat yang tidak berdosa.

     Seterusnya, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab iaitu dengan membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan ini sebenarnya menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, “kapak tak boleh membelah kayu, kalau bukan kayu pula yang menjadi hulunya”. Hal ini demikian kerana, sistem perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah mengkaji masalah ini hingga ke akar umbinya.

     Punca lain yang menyebabkan bencana alam ini berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai contohnya, sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6 Disember 2008 yang lalu. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu longgar dan mudah runtuh.

     Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan berganding bahu dengan mengamalkan peribahasa “seperti aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini. Janganlah kita mengamalkan peribahasa “seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Jika perkara ini tidak dilakukan, sudah pastinya semua pihak terpaksa menanggung akibat buruk daripada sikap kita sendiri. Oleh itu, anggota masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita harus sedar bahawa, sebenarnya Allah menganugerahkan alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah kita hidup di dalam kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir dan kemarau? Oleh hal yang demikian, tepuklah dada, tanyalah selera, sebelum bertindak.










 Kementerian Pelajaran Malaysia telah mendominankan kokurikulum dalam sistem pendidikan nasional. Langkah ini secara eksplisit menerangkan kokurikulum sebagai simbolik kepada kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Oleh itu, badan-badan beruniform seperti Kadet Pertahanan Awam, Kadet Remaja Sekolah dan sebagainya mula dipromosikan dalam arus pendidikan negara.  

         Faedah-faedah yang boleh didapati apabila para pelajar menyertai badan beruniform adalah dapat memapankan ketahanan diri. Dalam usia yang setahun jagung, banyak cabaran yang perlu ditongkah bahkan, formula ketahanan diri tersebut juga perlu diaplikasikan pada masa hadapan. Aktiviti-aktiviti lasak yang sudah termaktub dalam silabus badan beruniform seperti 'flying-fox', 'night-walk' dan seumpamanya merupakan pendekatan awal bagi membuka kotak penerimaan pelajar terhadap kepentingan hal ini. 

          Di samping itu, penyertaan pelajar dalam unit beruniform berpotensi memangkinkan semangat kerjasama ibarat aur dan tebing dan pembentukan disiplin mereka. Hal ini dapat dibuktikan melalui penglibatan pelajar yang mendesak ketepatan masa yang tinggi seperti aktiviti kawad kaki. Aktiviti tersebut memerlukan gemblengan tenaga yang maksimum daripada ahli-ahli pasukan bagi menghasilkan formasi yang mantap. Oleh itu, para pelajar yang menyertai badan beruniform sering masyhur dengan ketepatan masa dan disiplin yang tinggi.

         Persis peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, para pelajar juga akan diasuh tentang ilmu asas kecemasan. Perkara ini sangat berfaedah kerana apabila berlaku sebarang kecederaan, para pelajar boleh tampil menghulurkan bantuan. Tamsilnya, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) merupakan unit utama di sekolah yang bertindak menyebarkan wadah kesihatan kepada ahli-ahlinya dan umum. Maka, tindakan ini dilihat sangat efektif demi memansuhkan kedaifan akal pelajar tentang ilmu kesihatan. 

        Akhirulkalam, semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum untuk kemenjadian masa depan. Elakkan daripada tertumpu kepada kurikulum sahaja. Para pelajar perlu sedar  akan faedah yang terbentang justeru mereka harus mengikuti perkembangan sistem pendidikan untuk faedah diri sendiri.





























Ponteng merupakan kekangan disiplin yang paling banyak berlaku dan sukar diatasi di sekolah. Antara lain, ponteng bagaikan satu indikator yang menanda aras kelemahan sistem pendidikan Malaysia yang diimplementasikan melalui Dasar Pendidikan Negara (DPN). Perang media menerusi akhbar, majalah, blog dan sebagainya telah pun meletus bagi membincangkan pro serta kontra kegiatan tidak bermoral ini. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan sedang bergiat cergas dengan mengobservasi punca dan ikhtiar bagi menekan kemajuan polemik ini.

      Punca bercambahnya masalah ini termasuklah kurangnya didikan duniawi serta ukhrawi daripada ibu bapa. Hal ini berlaku kerana mereka terlalu ghairah mengejar kemewahan hinggakan sanggup mempedulikan asas kehidupan serta dasar keagamaan anak-anak mereka. Bahkan mereka tidak arif bahawa pengabaian inilah yang bakal merosakkan anak bangsa kita. Persis slogan 'pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara', ibu bapa hendaklah mengawasi pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka supaya terhindar daripada maksiat seterusnya mengatur strategi kehidupan anak-anak mereka supaya dapat menjadi tonggak negara pada masa akan datang.

      Pemuda watan kita sering tersilap memilih jalan seperti peribahasa menyebut 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak langkah buruk padahnya'. Hal ini disebabkan, remaja marcapada lebih cenderung  memilih rakan yang mengikut trend walhal budaya yang disalurkan adalah negatif. Sudah terlalu menggunung budaya barat yang diisi dalam kotak pemikiran kita sehinggakan kita terlupa kepada budaya asal. Dasar remaja pula, mereka mahukan sesuatu yang lebih menarik dan mengikut peredaran zaman. Jadi apabila wujudnya pengaruh rakan sebaya, mudahlah baginya untuk turut serta dan mencuba perkara baru. Pemilihan kawan yang baik dapat mencorakkan kehidupan kita ke aras yang lebih sempurna.

      Di samping itu, peranan media juga menjadi tulang belakang kepada kegawatan ini. Media kini lebih gemar memaparkan program-program yang bertentangan dengan norma masyarakat lokal. Eksploitasi seks terhadap wanita dalam iklan-iklan sebagai intiha, memesongkan iman para remaja seterusnya menyebabkan mereka berpotensi untuk terjerumus ke lembah kehinaan. Selain itu, penapisan filem serta drama dianggap masih longgar kerana wujud adegan-adegan separa lucah yang dapat meracun minda remaja kita. Oleh yang demikian, remaja seringkali terikut-ikut dengan paparan negatif yang jelas berbanding kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P).

       Bagi menangani punca-punca ini, pelbagai inisiatif telah diambil oleh variasi pihak. Antara cara demi menangani polemik sosial ini ialah mengadakan sesi kaunseling yang melibatkan pihak sekolah, ibu bapa dan remaja itu sendiri. Menerusi pendekatan ini, masalah yang menyebabkan seseorang pelajar ponteng dapat dikesan. Pihak kaunselor harus menerangkan impak negatif aktiviti ponteng supaya pelajar tersebut sedar dan berhati-hati menongkah arus kehidupannya. Hal ini dilihat berkesan demi mengurangkan kadar pertambahan bilangan pelajar yang ponteng sekolah, kerana peribahasa ghalib menyebut "sediakan payung sebelum hujan". Makanya, apabila pihak yang berkenaan sudah mengetahui punca-punca gejala ponteng, usaha membanteras juga lebih efektif.

    Seterusnya, para pelajar haruslah faham bahawa gejala ponteng bukanlah aktiviti yang menjamin masa depan. Sepatutnya, masa yang terluang diisi dengan ilmu dan pengajaran sebagai bekalan untuk masa hadapan. Pihak kerajaan pula perlulah menitikberatkan peraturan dan undang-undang kerana para pelajar dilihat memandang sebelah mata akan peraturan sekolah seolah-olah tiada mata yang melihat pergerakan mereka. Apabila peraturan dan hukuman dilaksanakan, pelajar-pelajar akan tergerak daripada mimpi dan sedar bahawa kebebasan yang dikecapi adalah terhad.

        Tuntasnya, semua pihak terutamanya pelajar sendiri haruslah bertanggungjawab membaik pulih sistem pendidikan negara agar dapat memacu kejayaan negara seterusnya bersaing dengan kuasa besar antarabangsa yang lain. Janganlah kita menjatuhkan air muka negara sendiri tatkala rumpun lain asyik memperlekehkan kemampuan kita. Sesungguhnya pentarbiahan yang sempurna menjamin keterjelmaan negara seiring dengan Gagasan 1Malaysia.
























0 评论:

发表评论