2013年7月23日星期二


Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan kes ragut  menjadi lebih serius:
Belakangan ini, kejadian ragut amat mengejutkan buat masyarakat kita. Menurut Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak, kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Ada pepatah melayu menyatakan, kuah sama dihirup, sambal sama dicolek, kita sebagai warga Malaysia yang seia sekata, haruslah menggembleng tenaga dan menghempas pulas untuk mengekang masalah ragut ini sehigga ke akar umbinya. Persoalannya, apakah faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya kes ragut yang terus meningkat saban tahun ?  Yang berikut akan saya huraikan puncanya berlaku kes ragut.
  Punca perdana jenayah ragut ini adalah kerana sikap masyarakat sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka, bak kata pepatah, bagai mencurahkan air ke atas daun keladi. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadI sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.
Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.
Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif. Hal ini demikian kerana undang-undang kini hanya seperti melukut di tepi gantang. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.
Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Tegasnya, masyarakat haruslah menekankan didikan keagamaan supaya mempunyai nilai sahsiah yang tinggi.
Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak, bak kata pepatah, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa ”sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.



Kerajaan telah berusaha untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan di negara ini ekoran peningkatan kes sosial pula.
Nyatakan langkah-langkah yang mampu diambil oleh kerajaan untuk mengekalkan insititusi keluarga ini.

Belakangan ini, kerajaan berusaha untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan di negara ini. Merurut perdana menteri Dato Seri Najib Tun Razak, peningkatan gejala sosial berkait rapat dengan keruntuhan institusi keluarga. Ada pepatah melayu menyatakan, bagaimana acuan begitulah kuihnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk mendidik anak-anak mereka. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan institusi keluarga di negara ini terus utuh? Yang berikut akan saya huraikan langkahnya mengekalkan institusi kekeluargaan.
Tindakan awal yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah kerajaan menggubal satu perundangan baru yang boleh memastikan keutuhan keluarga di negara ini terus berkekalan. Kewujudan akta yang lebih menyeluruh seperti mampu menangani masalah penceraian, penderaan anak dan isteri  pasti mampu memberikan satu sinar baru kepada pembentukan keluarga yang sihat pula. Masyarakat akan lebih berhati-hati untuk bertindak mendera atau lari dari rumah begitu sahaja kerana sedar adanya peruntukan perundangan yang boleh memberi impak kepada diri mereka  pula nanti jika dilakukan tanpa berfikir. Maka, tindakan mewujudkan satu perundangan yang lebih holistik  mampu menghasilkan satu bentuk keluarga yang lebih baik di negara ini.
Selain itu, kerajaan boleh menjalankan satu kempen kesedaran tentang peri pentingnya institusi keluarga ini diberi penekanan di negara ini. Dalam kempen ini dihuraikan bahawa kebanyakan gejala sosial yang berlaku di Malaysia mampu dikurangkan jika negara ini memiliki persepsi kepentingan keluarga yang sebenarnya. Pada masa yang sama kempen itu juga berupaya untuk menerangkan cara-cara untuk memiliki satu keluarga yang baik dan sihat supaya masyarakat boleh melakukan sesuatu pula terhadap keluarga mereka sendiri.  Jelaslah, langkah mengadakan kempen bukan sahaja mampu menerangkan kepentingan keluarga kepada masyarakat tetapi juga berupaya mendidik mereka untuk memproleh satu keluarga yang sempurna.
Bukan sahaja penggubalan perundangan dan menjalankan kempen tetapi kerajaan juga boleh menubuhkan satu agensi khas yang akan menguruskan semua aspek berkaitan dengan kekeluargaan di negara ini. Agensi ini akan merangka semua tindakan yang bersesuaian dengan perancangan kerajaan setelah mengadakan kajian mengenai keadaan keluarga di negara ini pula. Kewujudan agensi khas ini juga membuktikan kepada masyarakat bahawa kerajaan sememangnya bersungguh-sungguh dalam usaha untuk menangani masalah sosial yang berlaku itu. Sesungguhnya, penubuhan sebuah agensi khas keluarga sebegini mampu menjadikan semua aktiviti yang dilaksanakan terancang dan tepat kea rah sasarannya.
Tindakan seterusnya ialah kerajaan boleh mewajibkan semua ibu bapa terutama pasangan yang baru berkahwin untuk menghadiri satu kursus keibubapaan. Kehadiran mereka dalam kursus sebegini memberikan mereka satu pengetahuan asas untuk mendidik anak sendiri apabila sampai masanya kelak. Pengetahuan mendidik sebeginilah yang bakal menjadikan keluarga itu lebih mantap kerana anak akan dididik dengan sempurna oleh ayah dan ibu mereka. Oleh itu, kursus yang dianjurkan ini menjadikan tugas untuk mendidik keluarga itu begitu mudah dan berkesan.
Malahan,  keutuhan keluarga ini juga mampu ditingkatkan oleh kerajaan dengan menyediakan sistem perumahan yang selesa buat rakyat di negara ini terutama golongan yang berpendapatan rendah. Kita sedia maklum bahawa harga rumah di negara ini terutama di kawasan bandar begitu mahal sehingga ada keluarga yang tidak mempunyai rumah yang selesa untuk keluarga mereka. Keadaan ini menyebabkan anak-anak sering tiada di rumah lalu mereka mudah untuk terpengaruh dengan unsur-unsur negatif di luar rumah pula.  Justeru, kemampuan kerajaan menyediakan perumahan yang baik buat rakyat di negara ini bakal menyaksikan semua gejala sosial yang berlaku menjadi berkurangan pula.
Kesimpulannya, semua tindakan yang diutarakan tadi sememangnya mampu menghasilkan satu institusi keluarga yang utuh di negara ini. Kerjasama semua pihak terutama ibu bapaamat diperlukan jika tindakan-tindakan ini ingin mencapai sasarannya. Kegagalan untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya pasti menjadikan gejala sosial yang melanda negara ini terus bertambah saban tahun. Slogan “Rumahku, Syurgaku” membuktikan betapa pentingnya keharmonian dan keutuhan keluarga itu buat pendidikan generasi masa depan negara ini.

                                                              






















0 评论:

发表评论